Menuju Akhir Kehidupan Hendaklah Ditempuh Dengan Berbagai Amal Kebajikan

Syaikh Ibnu ‘Athaillah Al-Iskandari
Sumber : Matan Al-Hikam
Berkata Syaikh Ibnu ‘Athaillah :
“Maka dia (orang yang berkaki) berpaling dari dunia dengan memejamkan matanya serta berlari daripadanya, kerana dia tidak menjadikan dunia ini sebagai tanah air dan tidak pula sebagai tempat menetap. Bahkan dia bangkit dengan semangat menuju kepada Allah Ta’ala dan dia berjalan di dunia ini dengan memohon pertolongan-Nya untuk segera sampai kepada-Nya.”
Secara beransur-ansur, waktu demi waktu, hari demi hari, hinggalah tahun demi tahun yang perlahan tetapi pasti, perjalanan yang kita lalui semakin jauh dan kita semakin dekat ke penghujungnya, yakni titik akhir dalam sebuah kehidupan. Nyawa kita akan diambil oleh Yang Empunya dan tubuh ini akan sejuk kaku kemudian dihantar oleh orang ramai ke dalam kubur yang sepi, gelap dan sempit. Ketika itu tiada bezanya antara raja dengan rakyat jelata, antara orang cerdik dengan orang bodoh, antara orang kaya dengan orang miskin, antara orang yang memegang kekuasaan dengan orang yang menjadi pengikutnya dan sebagainya.
Oleh yang demikian, setiap kita hendaklah bersedia untuk menghadapi kepastian ini dengan pelbagai daya dan usaha, dengan pelbagai amal dan kebajikan. Dalam perjalanan menuju garis akhir kehidupan ini, hendaklah kita melengkapi diri dengan berbagai persediaan yang diperlukan. Di sana terdapat dua persimpangan jalan, sehingga kita perlu benar-benar teliti dan cermat memilih jalur mana yang hendak kita lalui, yakni jalur ke neraka atau jalur ke syurga.
Kita perlu berhati-hati, jangan sampai kita tersalah jalan, tertipu dan terpedaya, sehingga kita menempuh jalur ke neraka. Kerana jalan ke neraka itu penuh dengan kesenangan dan kemewahan, kegembiraan dan gelak ketawa, keseronokan dan kebanggaan, sehingga orang-orang yang lemah imannya akan mudah tertarik untuk melaluinya. Sedangkan di hujung jalan itu terdapat sebuah jurang kenistaan, lembah kebinasaan dan lubang kehinaan serta malapetaka yang besar, yang mahu tidak mahu orang yang melalui jalan ke arahnya akan sampai kepadanya, kecuali bagi mereka yang sedar lantas dia bertaubat, kemudian dia kembali ke pangkal jalan untuk memulai jalan baru yang lebih selamat.
Manakala jalan ke syurga itu dipenuhi oleh berbagai cubaan, ujian, rintangan dan peraturan-peraturan serta perkara-perkara yang tidak disukai oleh nafsu. Kerana itu tidak sedikit orang yang enggan melaluinya. Padahal di hujung jalan itu terdapat taman kebahagiaan, kenikmatan dan kurnia Ilahi yang tiada taranya.
Bagaimanapun dengan kasih sayang Allah yang begitu besar terhadap hamba-Nya, maka Dia tidak membiarkan hamba-Nya terjerumus ke lembah kehinaan dan kesengsaraan itu dengan begitu sahaja. Oleh itu dia melengkapi hamba-Nya dengan akal, sehingga dengan akal itu kita mampu memilih jalan yang hendak kita lalui dan jalan mana yang perlu kita jauhi dalam menuju garis akhir kehidupan ini.
Di samping adanya dua jalan sebagaimana yang disebutkan di atas, dalam perjalanan menuju titik akhir kehidupan ini, manusia sentiasa dihadapkan kepada undang-undang jalan yang mesti dipatuhi untuk keselamatan dan kesejahteraan manusia dalam perjalanan itu.
Di dalam Islam, terdapat lima undang-undang jalan yang  mesti dipatuhi oleh umatnya, iaitu haram, makruh, mubah, sunat dan wajib. Di antara undang-undang yang lima itu, terdapat pula suatu undang-undang yang tidak jelas kedudukannya, sama ada halal atau haram, sehingga tidak sedikit orang yang terpedaya olehnya. Ini sesuai dengan apa yang pernah dikatakan oleh Rasulullah (saw) dalam sabda baginda yang berbunyi :
“Yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Tetapi di antara yang haram dengan yang halal itu terhadap perkara-perkara yang belum jelas hukumnya (syubhah). Ramai orang yang tidak tahu, apakah ia itu termasuk ke dalam bahagian halal atau haram? Maka barangsiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan kehormatannya, maka dia akan selamat; dan barangsiapa yang mengerjakan sedikit pun daripadanya hampir-hampir dia akan ke dalam haram, sebagaimana orang yang menggembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir akan jatuh kepadanya. Ingatlah, bahawa setiap raja mempunyai kawasan larangan. Ingatlah bahawa kawasan larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan.” (Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim & At-Tirmidzi, dan riwayat ini adalah lafaz At-Tirmidzi)
Kewaspadaan kita dalam memperhatikan dan mematuhi papan tanda jalan yang ada, adalah menjadi penentu terhadap kebahagiaan hidup kita selanjutnya selepas melalui garis akhir kehidupan ini. Oleh yang demikian, maka yang terpenting di sini bukanlah sampainya kita kepada garis akhir itu, tetapi apa yang akan berlaku selepas melalui garis tersebut.
Perlu kita sedari, bahawa jalan menuju akhir kehidupan ini tidak sentiasa mulus dan lurus, tetapi sering terdapat berbagai macam godaan dan iklan yang terpampang di tepi jalan serta rintangan yang berusaha membelokkan jalan kita ke persimpangan yang lain, baik godaan itu datangnya dari manusia mahupun dari syaitan atau nafsu kita sendiri.
Oleh yang demikian, Allah Ta’ala memberikan peringatan-peringatan kepada kita, agar kita tidak tertipu dan terpedaya oleh iklan dan berbagai pujuk rayu itu dengan firman-Nya yang antara lain berbunyi :
“Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia ini memperdayakan kamu, dan jangan pula penipu-penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.” (Surah Luqman : 33)
Dalam kehidupan ini, seringkali kita disibukkan oleh berbagai urusan dunia sehingga kita lupa bahawa jalan yang kita lalui semakin dekat ke penghujungnya. Padahal, jika kita sudah sampai garis penamat itu, kita tidak akan boleh mundur walaupun setapak. Oleh itu, alangkah baiknya, jika setiap saat dan ketika kita merenung dan mengoreksi diri (muhasabah), apakah kita sudah mempunyai bekal yang cukup, atau apakah masih banyak beban dosa yang kita tanggungkan selama dalam perjalanan itu.
Tiada lain yang perlu kita fikir dan kita renungkan di sini, kecuali berusaha untuk melihat kelemahan, kelalaian, keterlanjuran dan kesalahan diri kita selama dalam menempuh liku-liku kehidupan ini, semoga kita senantiasa membersihkan diri kita daripada noda-noda tersebut sebelum kita sampai ke garis penamat, dan kemudian untuk berhadapan dengan Allah Rabb Al-Jalil bagi mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita sepanjang perjalanan hidup di dunia ini.

No comments:

Post a Comment

jejak terbaik SNS